Pergi ke kandungan

Kris (kumpulan muzik)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Kumpulan Kris)
Kris
Anggota kumpulan Kris.
Dari kiri: Lomaq, Joey, Alim dan Mukhris
Latar belakang
Berasal dariMalaysia Malaysia
GenreHard rock, Pop rock, Rock kapak
PekerjaanPenyanyi / Pemuzik
InstrumenVokal / Band
Tahun aktif1988 - 1995
Syarikat rakaman
Gong Production (1991-1995)
Life Records (1991-1995)
Pengkarya berkait
M. Nasir
Hattan
Kumpulan Mega
Kumpulan Search
AhliAlim - Vokal
Mukhris - Gitar
Lomaq - Bass
Joey - Dram

Kumpulan Kris merupakan sebuah kumpulan rock Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1988 dan menyampaikan lagu-lagu rock berbahasa Melayu. Kumpulan Kris muncul di tengah-tengah kehangatan muzik rock menguasai persada muzik tanah air, sebaris dengan kumpulan-kumpulan rock lain seperti Dinamik, WOW, Blackrose, Damasutra dan Laksamana. Kris juga merupakan kumpulan rock ketiga dari Malaysia yang menandatangani kontrak dengan Life Rekod (kini Life Records) selepas Bumiputra Rockers dan XPDC.

Berbekalkan lagu berhantu Tiara, Kris tidak mengambil masa yang lama untuk menempa populariti. Dalam masa yang singkat mereka berjaya menempatkan diri sebaris dengan kumpulan-kumpulan rock yang sedia ada.

Album pertama Kris yang meletup dengan lagu Tiara telah terjual melebihi 110,000 unit sekaligus menempatkan mereka sebagai salah satu kumpulan rock baru yang paling popular ketika itu. Manakala album kedua telah mencatat jualan sekitar 50,000 unit. Pencapaian ini dianggap hebat bagi sebuah kumpulan yang baru muncul dengan satu album.

Sejarah Awal

[sunting | sunting sumber]

Kumpulan Kris diasaskan pada awal tahun 1991 oleh Munir, pemain dram kumpulan The Lips yang sering mengiringi persembahan solo ratu rock negara iaitu Ella. Penubuhan kumpulan ini didorong oleh pelawaan Pak Husin, pengurus syarikat produksi Gong Production yang ketika itu hendak mencari pemuzik-pemuzik yang akan digandingkan bersama vokalis sementara Metal Child, Alim untuk membentuk sebuah kumpulan rock baharu. Munir yang pada ketika itu tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjayanya bersama The Lips menerima pelawaan tersebut dan telah mengajak Lomaq (bass) dan Mukhris (gitar) untuk bergabung dengan Alim. Namun di pertengahan jalan, Munir menarik diri dari projek tersebut setelah dipanggil oleh rakan lamanya, Mad (Mat Mega) untuk menyertai kumpulan Mega menggantikan Joey. Sebagai pertukaran, Joey kemudiannya mengisi posisi yang ditinggalkan Munir dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bergabung dengan Lomaq, Mukhris dan Alim. Maka, terbentuklah kumpulan rock baharu yang dinamakan Rajawali dan menandatangani kontrak rakaman album pertama yang hanya tinggal proses memasukkan vokal sahaja.

Namun setelah proses tersebut siap, mereka dikejutkan dengan isu nama Rajawali apabila terdapat sebuah kumpulan rock lain yang terlebih dahulu menggunakan nama tersebut dan telahpun memasarkan album mereka di bawah label Sinar Muzik. Tidak mahu isu tersebut berlarutan, mereka sepakat untuk menukar nama kumpulan kepada Kris yang diambil daripada nama sebuah senjata yang digunakan oleh orang Melayu iaitu keris. Akhirnya, album pertama Kris berjudul Tiara mendarat di pasaran pada pertengahan tahun 1991 di bawah label Gong Production sambil Life Rekod (kini Life Records) bertindak sebagai pengedar album.

Anggota kumpulan

[sunting | sunting sumber]
  1. Abdul Halim bin Mohd Bukhari (Alim) - vokal
  2. Mukhris bin Abdul Talib (Mukhris@Boy) - gitar
  3. Musa bin Mohd Taib (Musa@Lomaq) - bass
  4. Abdul Hamid bin Shahlan (Hamid@Joey) - dram

Diskografi

[sunting | sunting sumber]

Album studio

[sunting | sunting sumber]
  1. Tiara (1991)
  2. Ratna (1993)

Album lain

[sunting | sunting sumber]
  1. Revival of the Forgetten Rock Kapak (2012)

Revival of the Forgotten Rock Kapak (2012)

[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua album Kris telah dikeluarkan semula oleh LIFE Records bagi membolehkan peminat-peminat memiliki semula koleksi lagu-lagu mereka selepas 20 tahun.

Anugerah dan Pencalonan

[sunting | sunting sumber]
Carta pujaan 10 Radio 1 Malaysia (kini Radio Klasik FM)
Tahun Tajuk Kedudukan
(23Ogos - 19 Sep) 1993 Lagu Cenderawasih 1
Anugerah Juara Lagu (AJL)
Tahun Karya Keputusan
1991 Tiara Menang

• Juara Lagu

tempat ke -3


• Persembahan Terbaik tempat -3


• Lirik Terbaik

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)
Tahun Kategori Keputusan
1992 Penyanyi Berkumpulan Popular Tercalon
Anugerah Industri Muzik (AIM)
Tahun Kategori Karya Keputusan
1993 Video Muzik Terbaik Cenderawasih Tercalon

Info Tambahan

[sunting | sunting sumber]
  • Pemain bass Kris, Lomaq merupakan saudara kandung kepada dua gitaris kumpulan rock lagenda negara, Search iaitu Kid (gitaris asal kumpulan Gersang) dan Din. Lahir dalam keluarga seni, Lomaq merupakan anak kepada pemuzik terkenal Taib Othman dan juga anak saudara kepada bekas anggota kumpulan Carefree iaitu Rahim Othman yang juga seorang komposer dan penerbit terkenal.
  • Lomaq pernah menyertai kumpulan Mega pada tahun 1988 hingga 1989 di mana pada ketika itu, Mega telahpun menandatangani kontrak rakaman album bersama Jojo's Production. Namun Lomaq meninggalkan Mega setelah siap merakamkan 2 daripada 10 lagu dalam album pertama Mega iaitu Pasti dan Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara dan kemudiannya menyertai kumpulan pemuzik iringan Ella iaitu The Lips bersama Munir dan Mukhris.
  • Joey merupakan pemain dram asal kumpulan Mega sejak era Maiden Child pada tahun 1987 dan terlibat sepenuhnya dalam album pertama Mega. Namun setelah pertandingan akhir Juara Lagu 1990 melabuhkan tirainya, Joey mengambil keputusan untuk keluar dari Mega sejurus selepas vokalisnya, Zarith disingkirkan daripada kumpulan Mega oleh pihak pengurusan.